Diperkenalkan untuk golongan B40: Ini cara memohon Bantuan BKK RM1,000 setiap bulan
Pelbagai jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan, sama ada melalui peringkat Negeri atau Persekutuan bagi membantu mereka yang berkelayakan.
Salah satunya termasuklah sebuah bantuan yang dikenali sebagai Bantuan Kanak-Kanak (BKK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Kadar Bantuan
BKK pada asasnya melibatkan kadar bantuan minimum RM150 sebulan seorang dan maksimum RM1,000 sekeluarga mengikut pecahan berikut:
- RM200: Seorang bagi anak berumur 6 tahun & ke bawah;
- RM150: Seorang bagi anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun;
- RM1,000: Kadar bantuan maksimum keluarga sebulan
Tujuan Utama BKK
Tujuan utama BKK adalah untuk membantu keluarga / penjaga kepada anak / kanak-kanak atau membantu anak / kanak-kanak yang tiada / kehilangan penjaga supaya dapat terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup tanpa menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak mengikut peringkatnya.
Selain itu, ia juga bermatlamat bagi memelihara dan memperkukuhkan institusi keluarga yang terlibat dalam memberi jagaan sempurna kepada kanak-kanak termasuk kasih sayang dan perhatian.
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
- Keluarga/ penjaga yang memberi jagaan kepada kanak-kanak dan pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
- Kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun dan yang berumur 18 tahun ke atas boleh dipertimbangkan jika bersekolah sehingga tamat menengah atas.
Cara Memohon
Untuk yang memenuhi syarat-syarat BKK, permohonnya boleh dibuat melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat di seluruh negara dengan membawa dokumen-dokumen sokongan berikut:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon;
- Salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama;
- Salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama;
- Salinan penyata gaji (jika ada);
- Lain-lain dokumen yang berkaitan.
Dimaklumkan bahawa setiap permohonan yang didaftarkan akan menjalani siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon.
Perkara ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.
Untuk maklumat lebih teliti dan lanjut berkenaan BKK, sila rujuk di Portal Rasmi JKM – DI SINI.