[RASMI] Kerajaan setuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000

Advertisement

Pihak kerajaan akhirnya bersetuju untuk membenarkan Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Mengumumkan perkara itu di Sidang Media Khas tengah hari tadi, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak kerajaan telah mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

Ia juga bertitik tolak dengan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, bila mana ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Kebenaran pengeluaran ini sekaligus menjadi kesinambungan kepada pengeluaran-pengeluaran sebelum ini merangkumi i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Pengeluaran tiga skim sebelum ini berjumlah sebanyak RM101 bilion dan melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik melanda negara dua tahun lalu.

Tambah Ismail, perkara ini merupakan sebuah keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Advertisement

Oleh itu, walaupun pihak kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP, beliau merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali jika keadaan benar-benar mendesak.

“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan.” – Katanya.

Berkenaan dengan kaedah pelaksanaan, syarat-syarat pengeluaran dan sebagainya – ia akan dimaklumkan secara terperinci oleh Kementerian Kewangan dan KWSP dalam masa terdekat.

Sebelum ini, KWSP telah pun mengumumkan agihan pendapatannya sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah untuk tahun 2021.

Ia sekaligus menyaksikan peningkatan berbanding tahun 2020 iaitu dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.20 peratus dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.

Info lanjut: FB Rasmi Ismail Sabri Yaakob.

Advertisement
Advertisement

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *