Selain i-Citra & i-Sinar: Ini adalah pengeluaran-pengeluaran lain yang boleh dibuat dari KWSP
Seperti mana yang semua telah sedia maklum, pihak kerajaan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti i-Citra, i-Sinar dan i-Lestari.
Melalui inisiatif-inisiatif ini, ia telah memberikan sedikit sebanyak usaha mengurangkan beban mereka yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat suasana yang melanda negara.
Akan tetapi, sebenarnya terdapat pelbagai lagi pengeluaran yang boleh dibuat melalui KWSP. Berikut adalah senarainya: –
1. Pengeluaran untuk Pendidikan
Kepada setiap pencarum KWSP, mereka boleh membuat pengeluaran simpanan dari Akaun 2 bagi tujuan pendidikan. Ia adalah untuk membiayai pendidikan sendiri, pasangan (suami/isteri), anak-anak dan/atau ibu bapa di institusi dalam dan luar negara yang diluluskan.
Kos yang dibiayai ini termasuklah yuran pengajian, yuran hostel dan penginapan serta penerbangan sehala untuk pelajar tahun pertama yang belajar di luar kawasan/luar negara.
2. Pengeluaran untuk Bina Rumah
Bagi mereka yang ingin membina rumah, pengeluaran simpanan KWSP melalui Akaun 2 boleh dilakukan oleh para pencarum. Membina rumah ini termasuklah dengan pembelian tanah atau atas tanah yang dimiliki.
3. Pengeluaran untuk Beli Rumah
Disebabkan keputusan untuk membeli hartanah adalah keputusan besar bagi setiap ahli KWSP, makanya badan kewangan itu membenarkan para ahlinya membuat pengeluaran dari Akaun 2 bagi membiayai pembelian rumah.
Rumah kediaman itu merangmuki jenis banglo, teres, berkembar, apartmen, kondominium, apartmen studio, apartmen servis, townhouse, SOHO atau rumah kedai dengan unit kediaman di Malaysia.
4. Pengeluaran untuk Menunaikan Haji
Sebagai salah satu Rukun Islam, menunaikan haji adalah antara impian majoriti masyarakat Islam. Oleh itu, pihak KWSP membenarkan pengeluaran dari Akaun 2 sebagai tambahan kepada simpanan di Lembaga Tabung Haji (LTH) sebagai perbelanjaan.
Perbezaan jumlah kos haji dengan baki simpanan akaun LTH ahli tertakluk kepada amaun maksimum RM3,000 atau baki Akaun 2 (mengikut mana yang lebih rendah).
5. Pengeluaran untuk Tujuan Kesihatan
Pada asasnya, pihak KWSP membenarkan para ahlinya yang menghadapi masalah kesihatan bagi membuat pengeluaran dari Akaun 2 untuk membiayai kos perubatan penyakit kritikal, peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan atau rawatan kesuburan.
Mereka yang layak dibiayai melalui pengeluaran ini adalah merangkumi
- Diri sendiri;
- Ibubapa anda (kandung, angkat, tiri, mentua);
- Pasangan;
- Adik-beradik anda (kandung);
- Anak-anak anda (kandung, angkat, tiri).
Untuk pelbagai lagi maklumat berkenaan pengeluaran-pengeluaran yang boleh dibuat melalui KWSP, boleh dirujuk di portal rasmi KWSP atau DI SINI.
Dalam masa sama, sebarang maklumat terkini berkenaan tabung kewangan itu boleh juga dilihat – DI SINI.