Ini Cara Memohon Bantuan Perkahwinan Melalui Skim Bantuan Zakat Majlis Agama Islam
Bagi mereka ingin berkahwin dan kurang berkemampuan, berita gembira untuk anda semua kerana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Bantuan Zakat melaksanakan Bantuan Perkahwinan.
Ia bertujuan untuk membantu sesiapa sahaja yang tergolong dalam golongan fakir, miskin, muallaf, al-gharimin (orang yang berhutang), ibnu sabil, fisabilillah dan ar-riqab.
Antaranya orang miskin, pelajar sekolah dan pengajian tinggi, mereka yang ditimpa penyakit, peniaga kecil, pemandu teksi dan lain-lain lagi.
Bagi mereka yang ingin memohon, berikut adalah maklumat terperinci yang perlu diikuti:
Syarat Umum Permohonan
Pemohon mestilah memenuhi kriteria-kriteria berikut:
- Beragama Islam
- Warganegara Malaysia
- Bermastautin di Wilayah Persekutuan tidak kurang dari (1) satu tahun dan masih menetap di Wilayah Persekutuan
- Tertakluk kepada Pengiraan Had al-Kifayah
* Jumlah pengiraan Had al-Kifayah ini akan dikira sebagai jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan oleh pemohon. Ia kemudiannya akan dibandingkan dengan pendapatan isi rumah pemohon.
*Sekiranya jumlah pengiraan Had al-Kifayah lebih tinggi daripada pendapatan, maka pemohon adalah layak menerima bantuan zakat.
Senarai Dokumen Yang Diperlukan
Sila pastikan semua keperluan dan dokumen yang dikehendaki adalah lengkap seperti berikut:
- Satu keping gambar berwarna berukuran passport (menutup aurat bagi perempuan)
- Satu salinan kad pengenalan pemohon & pasangan.
- Satu salinan kad pengenalan suami , isteri dan tanggungan / surat pengangkatan JPN / akuan sumpah penjagaan jika tanggungan bukan anak kandung (tidak termasuk yang telah berkahwin / bekerja)*
- Satu salinan penyata gaji / pencen / PERKESO / surat akuan sumpah pendapatan terkini suami dan isteri / surat pengesahan pendapatan suami dan isteri yang disahkan oleh ketua kampung (WP Labuan sahaja)
- Satu salinan sijil kematian suami / isteri bagi perkahwinan terdahulu.*
- Satu salinan kad memeluk Islam.*
- Satu salinan kad orang kelainan upaya (OKU) pemohon / tanggungan.*
- Surat pengesahan sakit kronik pemohon dan tanggungan dari hospital kerajaan sahaja.*
- Satu salinan pengesahan pengajian / kad pelajar / surat tawaran belajar bagi pemohon / tanggungan yang sedang belajar di IPT.*
- Satu salinan cukai pintu / bil utiliti.
- Satu salinan penyata akaun / surat pengesahan akaun bank yang menunjukkan maklumat pemohon dan transaksi terakhir / terkini (kecuali Tabung Haji, ASB, Bank ar-Rajhi dan Bank Agro (WP Labuan sahaja)
- Satu salinan sijil kursus pra-perkahwinan pemohon & pasangan.
- Satu salinan borang permohonan kebenaran perkahwinan pemohon dan pasangan yang telah diluluskan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (bagi permohonan sebelum bernikah sahaja).*
- Surat akuan sumpah pengesahan bujang / pengesahan bujang dari majikan (bagi permohonan selepas bernikah sahaja).*
- Satu salinan sijil nikah sementara / kad nikah (bagi permohonan selepas bernikah sahaja).*
* jika berkenaan
Cara Memohon
Bagi yang layak dan ingin memohon, sila ikuti langkah-langkah berikut:
- Muat turun borang bantuan (KLIK SINI)
- Lengkapkan dokumen seperti disenaraikan di atas
- Hantar borang ke kaunter permohonan berdekatan
*Boleh semak senarai kaunter terdekat dengan rumah anda di sini (KLIK SINI)