Bantuan RM200 setiap bulan di bawah bantuan baru Kerajaan: Ketahui syarat-syarat & cara memohon

Pelbagai jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan, sama ada melalui peringkat Negeri atau Persekutuan bagi membantu mereka yang berkelayakan. Antaranya adalah bantuan-bantuan tunai yang diperkenalkan atau diteruskan di bawah Belanjawan 2024.

Ia termasuklah apabila Kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan bantuan baru di bawah Program Budi Madani. Berikut adalah penjelasan lanjut berkenaan bantuan berkenaan:-

Bantuan RM200 setiap bulan di bawah Budi Madani

Untuk makluman, pihak Kerajaan ketika ini sedang melaksanakan penyasaran semula subsidi kepada rakyat bagi memastikan ia diberikan secara lebih telus dan kepada yang benar-benar layak. Ia termasuklah dengan memperkenalkan Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI kepada pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Di bawah program ini, pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu, manakala petani kecil dan pekebun kecil pula boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

Kepada mereka yang layak dan diluluskan permohonannya, mereka layak menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Syarat-syarat Kelayakan

Bagi kategori Budi Individu, ia diberikan khusus untuk individu daripada golongan bukan T20 yang memiliki kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia. Berikut adalah syarat-syarat kelayakannya:

  • Pemohon:
    • Warganegara Malaysia;
    • Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100 ribu dan ke bawah berdasarkan data LHDN; dan
    • Memohon secara dalam talian di laman web BUDI MADANI iaitu
  • Kriteria Pemilikan Kenderaan:
    • Kenderaan kegunaan persendirian (diesel) individu;
    • Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan Kenderaan) aktif;
    • Kenderaan diesel diisytiharkan di Semenanjung Malaysia; dan
    • Berdaftar di JPJ menggunakan nombor MyKad.
  • Kriteria Tambahan Tidak Layak BUDI Individu:
    • Motosikal diesel;
    • Kenderaan diesel persendirian berdaftar bagi kegunaan syarikat / pertubuhan;
    • Kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun;
    • Kenderaan berdaftar sebagai e-hailing; atau
    • Jenis kenderaan: Karavan, motorhome, van persiaran, dan bas persiaran.

 

BUDI Agri-Komoditi pula adalah sumbangan tunai khusus kepada petani kecil (Tanaman, Akuakultur, dan Ternakan) dan pekebun kecil
(Sawit, Getah, Koko, Lada, dan Kenaf) di Semenanjung Malaysia yang berdaftar dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Advertisement
Advertisement

Syarat-syarat kelayakan BUDI Agri-Komoditi adalah:

  • Warganegara Malaysia;
  • Pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK);
  • Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

 

Untuk makluman, pekebun kecil tersusun di bawah FELDA, FELCRA dan RISDA tidak layak untuk bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi. Ini kerana, Kerajaan akan menyalurkan subsidi diesel dan bantuan lain yang berkaitan terus kepada pihak FELDA, FELCRA dan RISDA.

Dalam masa sama, Kerajaan akan terus meneliti kriteria kelayakan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi bagi memastikan bantuan disediakan bagi pekebun kecil yang terkesan secara langsung akibat kenaikan harga diesel.

Cara Memohon

Untuk mereka yang menepati syarat-syarat kelayakan, permohonan bantuan ini boleh dibuat secara dalam talian (online) di Portal Rasmi Budi Madani mulai 28 Mei 2024.

Untuk permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima bantuan Budi Madani pertama mereka pada pertengahan Jun 2024 dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan. Jika permohonan diluluskan selepas 3 Jun 2024 pula, pembayaran pertama akan dibuat dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.

SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja

Cara pembayarannya adalah secara kredit terus ke dalam akaun bank penerima setiap bulan. Bagi penerima yang tiada akaun bank pula, tuntutan bantuan ini boleh dibuat secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

Bagi maklumat lebih lengkap berkenaan Budi Madani, ia boleh dirujuk terus di Portal Rasminya – DI SINI.

Advertisement
Advertisement

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *