Bantuan Kebajikan RM500 untuk warga emas (60 tahun & ke atas): Dikreditkan setiap bulan
Pelbagai jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan, sama ada melalui peringkat Negeri atau Persekutuan bagi membantu mereka yang berkelayakan. Antaranya adalah bantuan kewangan secara bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan berpendapatan rendah atau B40.
Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan antara bantuan kewangan yang telah diperkenalkan: –
Bantuan Kebajikan RM500
Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak Kerajaan telah memperkenalkan sebuah skim bantuan bulanan yang dikenali sebagai Bantuan Warga Emas (BWE). Bantuan ini diberikan setiap bulan dengan kadar sebanyak RM500.
Objektif utama BWE adalah bagi membantu warga emas miskin tegar (yang memenuhi kriteria kelayakan) untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup.
Syarat-syarat Kelayakan
- Pemohon hendaklah merupakan warganegara yang bermastautin di Malaysia;
- Pemohon merupakan warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas;
- Pendapatan isi rumah hendaklah tidak melebihi:
- Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa; atau
- Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Per Kapita Semasa
- Warga emas yang bukan tinggal di:
- Institusi kendalian JKM; atau
- Pusat jagaan harian/berkediaman yang memberi kemudahan/perkhidmatan secara percuma.
Cara Memohon
Untuk yang menepati syarat-syarat BWE yang ditetapkan, pemohon atau wakil yang sah boleh mengemukakan permohonan melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat terdekat. Bagi memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta membawa dokumen-dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian seperti berikut:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon;
- Salinan Kad Pengenalan suami/isteri/ibu/bapa/anak yang tinggal bersama;
- Salinan sijil kelahiran anak-anak/ahli keluarga yang tinggal bersama;
- Salinan penyata gaji (jika ada); dan
- Lain-lain dokumen yang berkaitan.
Setiap permohonan juga akan menjalani siasatan bagi penilaian (means-tested) untuk mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Perkara itu bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.
Info lebih teliti berkenaan bantuan ini, sila lihat di Portal Rasmi JKM – DI SINI.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Dalam perkembangan sama, pihak Kerajaan turut meneruskan pelaksanaan Bantuan Kanak-Kanak di bawah JKM. Bantuan ini bertujuan untuk membantu keluarga/ penjaga kepada anak/ kanak-kanak atau membantu anak/ kanak-kanak yang tiada/kehilangan penjaga supaya dapat terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup tanpa menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak mengikut peringkatnya.
Ia juga berobjektif untuk membantu memelihara dan memperkukuhkan institusi keluarga yang terlibat dalam memberi jagaan sempurna kepada kanak-kanak termasuk kasih sayang dan perhatian.
Kadar Bantuan Kanak-Kanak ini adalah sebanyak minima RM150 sebulan seorang sehingga maksimum RM1,000 sebulan mengikut pecahan berikut:
- RM200 seorang bagi anak berumur 6 tahun & ke bawah;
- RM150 seorang bagi anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun;
- Kadar bantuan maksimum RM1000/keluarga sebulan.
Syarat-syarat kelayakan Bantuan Kanak-Kanak ini adalah seperti berikut:
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
- Keluarga/ penjaga yang memberi jagaan kepada kanak-kanak dan pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
- Kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun dan yang berumur 18 tahun ke atas boleh dipertimbangkan jika bersekolah sehingga tamat menengah atas.
Permohonannya boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat terdekat dengan membawa dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan. Dimaklumkan bahawa pemohon perlu membuat permohonan yang seleras dengan syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.
Pelaksanaan bantuan kebajikan ini juga dalah selaras dengan Senarai Bersama (Concurrent List) antara Kerajaan persekutuan dengan Kerajaan Negeri, yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah senarai 3 – jadual kesembilan Senarai Perundangan.
Borang permohonan dan maklumat lengkap berkenaan bantuan-bantuan bulanan JKM boleh dirujuk di Portal Rasminya.