Pengeluaran KWSP bersyarat maksimum RM50,000: Berikut penjelasannya & cara memohon
Setiap tahun, Kerajaan akan membentangkan belanjawan untuk dimanfaatkan kepada pembangunan negara dan rakyat.
Bagi Belanjawan 2023 – pihak Kerajaan memperuntuk sebanyak RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion bagi belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Merangkumi peruntukan-peruntukan berkenaan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan kepada mereka yang memerlukan dan berkelayakan.
Dalam masa sama, sebuah inisiatif juga telah diperkenalkan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan inisiatif ini:-
Pengeluaran Bersyarat Maksimum RM50,000
Pada tahun ini, pihak KWSP telah memperkenalkan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) yang bertujuan untuk membolehkan ahli tabung kewangan itu membuat permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun bagi membantu mereka mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.
Pada asasnya, permohonan awal ini membolehkan ahli mengambil kira simpanan yang ada dalam Akaun 2 untuk mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Bayaran pengeluaran itu nanti hanya akan dibuat kepada pihak institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 tahun hingga 55 tahun tertakluk kepada pilihan umur pengeluaran ahli.
Syarat-syarat Kelayakan
- Terbuka kepada ahli KWSP yang belum mencapai umur 55 tahun (tertakluk kepada syarat umur kelayakan yang ditetapkan oleh institusi perbankan yang berkenaan);
- Warganegara Malaysia;
- Permohonan adalah sekali sahaja;
- Permohonan yang telah lulus tidak boleh dibatalkan;
- Amaun simpanan minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP;
- Amaun maksimum bagi pengeluaran bersyarat tidak melebihi RM50,000 dalam Akaun 2 (tertakluk kepada amaun pembiayaan peribadi yang diluluskan oleh institusi perbankan)
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Cara Memohon
Bagi yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan, permohonan fasiliti ini boleh dibuat dengan mengambil tiga langkah utama berikut:
- Langkah 1: Membuat semakan awal kelayakan simpanan Akaun 2 KWSP melalui portal institusi perbankan yang mengambil bahagian;
- Langkah 2: Membuat permohonan pembiayaan peribadi melalui portal institusi perbankan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh institusi perbankan;
- Langkah 3: Mengemukakan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dengan KWSP melalui portal institusi perbankan, berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.
Buat ketika ini, terdapat dua institusi kewangan yang menyediakan fasiliti ini iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Bagi info yang lebih teliti dan lengkap tentang fasiliti KWSP ini sila rujuk di Portal Rasminya – DI SINI.