
Dalam arus kehidupan moden yang semakin pantas, peranan ibu bapa warga emas sering kali terpinggir tanpa disedari. Mereka yang suatu ketika dahulu menjadi tunjang keluarga—membesarkan anak-anak, bekerja keras mencari rezeki dan mengorbankan masa serta tenaga demi kesejahteraan keluarga—kini berada di fasa kehidupan yang memerlukan perhatian, penjagaan dan sokongan daripada anak-anak serta masyarakat sekeliling.
Menjaga ibu bapa warga emas bukan sekadar tanggungjawab moral, tetapi juga satu amanah besar yang mencerminkan nilai kemanusiaan, budaya dan keimanan sesebuah masyarakat.
Peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia menunjukkan jumlah warga emas semakin bertambah dari tahun ke tahun. Namun, dalam masa yang sama, cabaran kehidupan seperti kos sara hidup yang tinggi, tekanan kerja, komitmen keluarga sendiri serta gaya hidup individualistik menyebabkan isu pengabaian warga emas semakin membimbangkan.
Ada ibu bapa yang tinggal bersendirian, mengalami masalah kesihatan tanpa pemantauan rapi, malah ada yang berdepan tekanan emosi akibat kurang perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesejahteraan fizikal warga emas, malah turut menjejaskan kesihatan mental dan kualiti hidup mereka.
Menjaga ibu bapa warga emas bukan hanya berkisar tentang menyediakan tempat tinggal atau keperluan asas seperti makanan dan perubatan. Ia turut melibatkan sokongan emosi, komunikasi yang baik, penghargaan terhadap pandangan mereka serta memastikan mereka terus berasa dihormati dan disayangi.
Bagi warga emas, perhatian kecil seperti bertanya khabar, meluangkan masa berbual atau menemani ke hospital membawa makna yang besar dan mampu meningkatkan semangat hidup mereka.
Dari sudut agama dan budaya Timur, berbakti kepada ibu bapa merupakan nilai teras yang tidak pernah lapuk ditelan zaman. Ia menjadi ukuran keperibadian seseorang serta asas kepada pembentukan masyarakat yang penyayang dan berakhlak.
Anak-anak yang menjaga ibu bapa warga emas bukan sahaja membantu meringankan beban mereka, malah secara tidak langsung mewariskan nilai empati dan tanggungjawab kepada generasi seterusnya.
Justeru, kesedaran tentang kepentingan menjaga ibu bapa warga emas perlu diperkukuhkan, bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga, tetapi juga melibatkan peranan masyarakat dan sokongan dasar yang lebih menyeluruh. Warga emas bukan beban, sebaliknya aset berharga yang perlu dihargai, dilindungi dan disantuni sepanjang usia senja mereka.
Bagi membantu dan meringankan beban mereka yang menjaga serta menanggung ibu bapa warga emas, terdapat sebuah bantuan telah diperkenalkan. Bantuan yang dimaksudkan itu adalah BINGKAS dan berikut adalah maklumat lanjutnya.
Bantuan RM300 Setiap Bulan – BINGKAS
Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) adalah salah satu inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Tujuan utama bantuan ini adalah bagi meningkatkan kestabilan kewangan, mengurangkan cabaran ekonomi dan memperkukuh keharmonian keluarga serta kemakmuran di Selangor.
Kadar bantuan ini ditetapkan sebanyak RM300 dan berikan setiap bulan kepada mereka yang layak serta diluluskan permohonan mereka. Bagi tahun 2026, pihak Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk memperluaskan bantuan ini kepada ketua isi rumah yang menanggung ibu bapa warga emas di bawah BINGKAS 3.0.
“BINGKAS 2.0 akan tamat pada Jun. Untuk fasa seterusnya, kita akan tambah syarat baharu bagi membolehkan anak susah dan menanggung ibu bapa layak terima bantuan RM300 sebulan.
“Walaupun Kerajaan Negeri ada sediakan baucar beli-belah RM150 kepada warga emas menerusi Skim Mesra Usia Emas, namun ada yang masih bergantung kepada anak-anak. Jadi kita mahu bantu isi rumah ini,” kata EXCO Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.
Syarat-Syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia;
- Pendapatan bulanan isi rumah RM5,000 dan ke bawah;
- Pemilih berdaftar di Selangor;
- Keluarga yang mempunyai anak / tanggungan minimum dua orang berusia 18 tahun ke bawah;
- Lahir di Selangor atau menetap di Selangor melebihi 10 tahun.
Kaedah Pembayaran dan Penggunaan BINGKAS
Untuk makluman, pembayaran BINGKAS dibuat dalam bentuk e-dompet kepada setiap penerima melalui Aplikasi Selangkah. Penerima boleh menggunakannya untuk membeli barangan keperluan harian seperti roti, beras, tepung, gula, garam, ikan, ayam, produk tenusu, ikan, daging, minyak masak, rempah ratus, kicap, sos, sayur-sayuran, buah-buahan, ubat-ubatan dan sebagainya.
Had bulanan pembelian barangan keperluan asas di bawah BINGKAS adalah sebanyak RM300. Baki nilai bagi bulan terdahulu perlu dihabiskan dan tidak akan dibawa ke bulan hadapan. E-dompet BINGKAS akan ditambah nilai ke tahap RM300 setiap bulan secara automatik ke aplikasi Selangkah penerima.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Bagi urusan permohonan, ia hendaklah dibuat secara dalam talian (online) di Portal BINGKAS dengan mengisi maklumat yang diminta secara lengkap dan tepat. Pemohon juga dikehendaki memberikan maklumat yang sahih dan benar sahaja.
Untuk maklumat lebih lengkap dan terperinci berkenaan BINGKAS, sila rujuk di portal rasminya – DI SINI.
