RM900 Mula Dikreditkan Terus Ke Akaun Bulan Ini (Mei 2025): Ini Maklumat Bantuan Sentuhan Kasih Rakyat
Dalam kehidupan seharian, setiap individu berdepan dengan keperluan asas yang tidak dapat dielakkan – makanan, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, penjagaan kesihatan, dan keselamatan. Keperluan-keperluan ini bukan sekadar perkara asas untuk kelangsungan hidup, malah menjadi penentu kepada kualiti kehidupan seseorang.
Namun, dalam dunia yang semakin mencabar dan kompleks hari ini, memenuhi keperluan harian bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai faktor luar seperti peningkatan kos sara hidup, inflasi, kekurangan sumber, dan tekanan ekonomi memberi kesan langsung terhadap keupayaan individu dan keluarga untuk menjalani kehidupan yang stabil.
Contohnya, harga barangan asas seperti beras, minyak masak dan telur kerap berubah-ubah, menjadikan perancangan kewangan isi rumah semakin sukar. Dalam masa yang sama, kadar gaji yang tidak seiring dengan peningkatan kos hidup menambahkan lagi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Tidak cukup dengan itu, keperluan harian kini juga merangkumi aspek digital seperti akses kepada internet dan peranti teknologi – yang menjadi elemen penting dalam pembelajaran, pekerjaan dan urusan harian.
Ramai juga yang terpaksa bekerja lebih masa atau melakukan dua pekerjaan demi menampung keperluan harian, hingga mengabaikan aspek kesihatan fizikal dan emosi. Keletihan melampau, kurang tidur, dan tekanan psikologi kini menjadi sebahagian daripada rutin hidup bagi ramai individu.
Namun begitu, dalam setiap cabaran pasti ada ruang untuk penyelesaian. Kesedaran tentang pengurusan kewangan, bantuan kerajaan, sokongan komuniti dan penggunaan teknologi secara bijak boleh membantu meringankan beban kehidupan harian. Antaranya adalah melalui program-program bantuan di peringkat Persekutuan dan Negeri.
Program Sentuhan Kasih Rakyat
Untuk pengetahuan semua, Kerajaan Negeri Sabah melalui Belanjawan 2025-nya telah memperkenalkan Program Sentuhan Kasih Rakyat yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan penerima, khususnya untuk mendapatkan keperluan asas.
Ia juga sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa dan mengurangkan kadar kemiskinan tegar di negeri Sabah.
Bantuan ini diberikan kepada mereka yang menepati syarat-syarat kelayakan berikut:
- Individu berumur 18 tahun ke atas sebelum 31 Disember 2024
- Warganegara Malaysia; dan
- Beralamat dan bermastautin di negeri Sabah sekurang-kurangnya 1 tahun; dan
- Pemegang Kad Pengenalan berstatus ’H’.
- Ketua Isi Rumah (KIR) yang berstatus miskin dan miskin tegar di dalam pangkalan data eKasih dan Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) setakat 31 Disember 2024; dan
- Ketua Isi Rumah (KIR) yang tercicir daripada sistem eKasih dengan pendapatan isi rumah kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK);
- Ketua Isi Rumah (KIR) kategori miskin (seorang penerima sahaja); atau
- Ketua Isi Rumah (KIR) dan pasangan. Sekiranya tidak mempunyai pasangan, salah satu Ahli Isi Rumah layak bagi kategori miskin tegar; atau
- Ketua Isi Rumah (KIR) dan pasangan serta satu (1) Ahli Isi Rumah anak di bawah tanggungan berumur 18 tahun ke atas bagi kategori miskin tegar sekiranya penerima di para (e) masih di bawah paras kemiskinan tegar.
Kadar Bantuan Sentuhan Kasih Rakyat
Kadar bantuan ini ditetapkan sebanyak RM3,600 setahun. Akan tetapi, pembayarannya dibuat secara berfasa seperti berikut:
- Fasa 1: Januari – Mac (Pakej Hari Raya Aidilfitri) RM900
- Fasa 2: April – Jun (Pakej Hari Kaamatan) RM900
- Fasa 3: Julai – September (Pakej Merdeka) RM 900
- Fasa 4: Oktober – Disember (Pakej Hari Krismas) RM900
Cara pembayarannya pula adalah secara kredit terus ke akaun penerima, seperti mana maklumat ketika permohonan dibuat. Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat secara tunai atau dikreditkan dalam e-Wallet YONO (mengikut situasi penerima).
Bagi penerimaan secara tunai, bantuan ini boleh dituntut di cawangan-cawangan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) terdekat. Penerima dikehendaki membawa Kad Pengenalan dan Pengesahan No Akaun Bank ketika membuat tuntutan.
Cara Memohon
Bagi permohonan Program Sentuhan Kasih Rakyat, ia boleh dikemukakan secara dalam talian (online) melalui Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS). Berikut adalah tatacaranya:
- Daftar akaun dan lengkapi maklumat peribadi serta butiran keluarga;
- Maklumat pendaftaran akan direkodkan dalam pangkalan data untuk diproses;
- Bantuan akan diberikan kepada pemohon yang layak.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Bagi urusan semakan kelulusan dan kelayakan pula, ia boleh dibuat di laman web SYUKUR Sabah. Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan dan berupaya dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Maklumat lebih terperinci serta lengkap Program Sentuhan Kasih Rakyat boleh dilihat dan rujuk di Portal PADANS – DI SINI.



