Pengambilan Tunai RM150 ‘One-Off’ Boleh Dibuat Bulan Ini (Januari 2025): Ini Maklumat Lengkapnya
Musim cuti sekolah sering kali membawa keceriaan, tetapi ia juga menjadi masa untuk ibu bapa bersiap sedia menghadapi sesi persekolahan yang baharu. Keperluan persekolahan, termasuk buku teks, alat tulis, pakaian seragam, dan yuran sekolah, merupakan elemen penting untuk memastikan anak-anak memulakan tahun akademik dengan lancar. Namun, bagi sesetengah keluarga, menyediakan keperluan ini boleh menjadi cabaran, terutamanya apabila kos kehidupan semakin meningkat.
Keperluan persekolahan bukan sahaja melibatkan perbelanjaan kewangan, tetapi juga memerlukan perancangan dan persediaan mental. Bagi ibu bapa, penting untuk membuat senarai semak dan menetapkan bajet agar keperluan anak-anak dapat dipenuhi tanpa tekanan kewangan yang besar. Dalam masa yang sama, anak-anak juga perlu dididik untuk memahami keperluan ini dan menghargai usaha yang dilakukan oleh ibu bapa mereka.
Selain itu, pelbagai pihak kini turut menyediakan bantuan bagi meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan. Antara inisiatif yang sering ditawarkan termasuk pemberian baucar buku, bantuan pakaian seragam, dan sumbangan alat tulis. Usaha ini amat penting untuk memastikan setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang mereka, dapat memulakan persekolahan dengan semangat dan keyakinan.
Dengan perancangan yang baik, ibu bapa dapat memastikan anak-anak mereka bersedia sepenuhnya untuk mengharungi cabaran dan peluang dalam tahun akademik yang akan datang. Prihatin dengan hal itu, pihak Kerajaan turut telah mempekernalkan sebuah bantuan yang dikenali sebagai Bantuan Awal Persekolahan atau BAP.
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150
Bantuan Awal Persekolahan atau BAP adalah sebuah bantuan tunai secara sekaligus yang diberikan pada awal tahun bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan murid.
Bagi tahun 2025, pihak Kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan bantuan ini dengan kadar sebanyak RM150. Mereka yang layak menerima bantuan ini adalah pelajar Tahun 1 hingga Tingakatan 6 dari sekolah-sekolah berikut:
- Sekolah kerajaan (SK);
- Sekolah bantuan kerajaan (SBK);
- Sekolah agama;
- Sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM tidak termasuk sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat;
- Kolej PERMATA;
- Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih;
- Sekolah Integriti;
- Sekolah Henry Gurney;
- Maktab Rendah Sains MARA; dan
- Maktab Tentera Diraja.
Bantuan ini diberikan kepada semua pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan, tanpa syarat had pendapatan ibu bapa atau penjaga. Oleh hal demikian, sekiranya sebuah keluarga itu mempunyai 3 orang anak sedanag bersekolah, maka jumlah keseluruhan BAP yang akan diterima sebanyak RM450.
Pembayaran BAP 2025
Berdasarkan kenyataan rasmi dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pembayaran BAP ) bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sesi persekolahan 2024/2025 bermula pada 13 Januari 2025.
Manakala, agihan BAP bagi murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Februari 2025 manakala agihan kepada murid Tingkatan 6 baharu akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2025.
Pembayaran bantuan ini akan dilaksanakan dengan beberapa kaedah utama iaitu:
- Serahan tunai kepada ibu bapa (sekolah rendah) atau ibu bapa/murid (sekolah menengah); atau
- Pengkreditan ke akaun bank murid; atau
- Pengkreditan ke akaun bank ibu bapa (dilaksanakan mulai tahun 2025).
“Kerajaan MADANI memperuntukkan sejumlah RM791,250,000 khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta orang murid,” petikan dari kenyataan media KPM.
Info Tambahan
Di bawah Belanjawan 2025, pihak Kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada RM180 juta berbanding RM150 juta pada 2024.
Peruntukan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga ditingkatkan kepada RM870 juta berbanding RM784 juta. RMT bakal memanfaat lebih 860 ribu murid dan peluang diberikan kepada pembekal sajian makanan oleh syarikat di daerah.
Kerajaan turut bersetuju Elaun Sara Hidup bagi siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru ditingkatkan kepada RM530 sebulan, berbanding RM430 sebelum ini.