STR Fasa 3 Dikreditkan ke Akaun Khamis (29 Ogos 2024) ini: Jumlah bayaran untuk setiap kategori
Pelbagai jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan, sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan bagi membantu mereka yang berkelayakan. Antaranya adalah bantuan-bantuan tunai yang diperkenalkan atau diteruskan di bawah Belanjawan 2024.
Hal itu termasuklah dengan meneruskan pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada mereka daripada kalangan B40 dan M40. Bantuan ini juga pada asasnya merupakan kesinambungan bantuan-bantuan sebelum ini seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan pelbagai lagi.
Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) ialah sebuah bantuan tunai yang diberikan kepada golongan B40 dan M40 di negara ini bagi meringankan beban kos sara hidup mereka. Ia juga merupakan bantuan yang diberikan kepada isi rumah, bujang dan warga emas yang menepati syarat-syarat kelayakan.
Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan kriteria kelayakan STR bagi tahun ini:
- Isi Rumah
- Kahwin; atau
- Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Pendapatan Isi Rumah adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Warga Emas Tiada Pasangan
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Had umur adalah 60 tahun dan ke atas; dan
- Pendapatan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Bujang
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Had umur adalah 21-59 tahun; dan
- Bujang Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun dan ke atas; dan
- Bukan pelajar IPTA / IPTS sepenuh masa; dan
- Pendapatan Bujang adalah RM2,500 dan ke bawah.
Bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas termasuk OKU berumur 19 tahun dan ke atas yang masih belajar sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi Awam / Swasta – mereka hanya dibenarkan untuk dimasukkan ke dalam maklumat anak / tanggungan permohonan isi rumah dan tidak dibenarkan membuat permohonan sebagai individu bujang.
Pembayaran STR Fasa 3
STR Fasa 1 dan Fasa 2 telah pun disalurkan kepada setiap penerima yang layak pada bulan Januari dan April lalu. Bagi pembayaran STR Fasa 3 pula, ia akan mula dikreditkan ke akaun penerima pada 29 Ogos 2024 (Khamis) ini.
Manakala, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank atau ia berstatus tidak aktif – tuntutan tunai di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Berdasarkan kenyataan Kementerian Kewangan – STR Fasa 3 akan disalurkan kepada lebih 8 juta penerima sedia ada, manakala bagi penerima baharu dan rayuan pula akan menerima bayaran mulai 18 September 2024 (Rabu). Mereka akan menerima bantuan tunai sehingga RM650 mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Pada tahun 2024 ini, peruntukan STR telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus daripada RM8 bilion pada tahun 2023 kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60% penduduk dewasa Malaysia.
Malah bagi tahun ini, Kerajaan telah mengambil pendekatan baru dengan membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan. Oleh hal demikian, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.
Kadar bayaran STR Fasa 3 adalah seperti berikut:
- Isi Rumah (pendapatan bawah RM2,500): RM150 – RM650
- Isi Rumah (pendapatan RM2,501 – RM5,000): RM150 – RM300
- Warga Emas Tiada Pasangan: RM150
- Bujang: RM50
Bagi maklumat lebih lengkap berkenaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), ia boleh dirujuk terus di Portal Rasminya – DI SINI.