Ibu dan Bapa Dalam Kategori B40 & M40: Ini Bantuan Tunai Budi RM1,500-RM2,000 Untuk Dimohon
Bantuan tunai kepada golongan atau kategori tertentu amat penting sebagai salah satu inisiatif untuk membantu mereka yang memerlukan. Golongan B40 dan M40 terutamanya memerlukan sedikit tambahan atau suntikan kewangan agar cash flow bulanan mereka terus positif untuk meneruskan kehidupan.
Memahami hal seperti ini, pihak kerajaan persekutuan atau negeri ada menyediakan pelbagai pakej bantuan kewangan atau cash transfer untu dimohon oleh mereka yang berkelayakan. Dalam artikel ini, pihak kami akan menerangkan secara terperinci mengenai salah satu bantuan kewangan yang ada disediakan oleh pihak kerajaan negeri.
Berikut merupakan penerangan terperinci tersebut:
Bantuan Tunai BUDI RM1,500-RM2,000
Bantuan tunai BUDI adalah salah satu bantuan yang disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri Sabah. Nama penuhnya adalah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT.
Kadar Bantuan Diterima Pemohon Yang Layak
Terdapat dua kategori penerima bagi bantuan ini. Berikut merupakan kategori penerima bantuan tersebut.
- Bantuan sebanyak RM 1,500 bagi Peringkat Pengajian Diploma / Asasi dan Matrikulasi.
- Bantuan sebanyak RM 2,000 untuk Ijazah Sarjana Muda.
Ia boleh dimohon bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat seperti yang dijelaskan di bawah.
Syarat-Syarat Kelayakan Pemohon Bantuan
- Pelajar adalah warganegara Malaysia berasal daripada Sabah dan berumur tidak lebih dari 25 tahun.
- Pelajar yang melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta pada tahun 2024sepenuh masa sahaja bagi Kemasukan Kali Pertama ke IPT di seluruh Malaysia dan Luar Negara.
- Ibu dan Bapa pemohon atau penjaga adalah golongan B40 dan M40.
Dokumen-Dokumen Yang Diperlukan
Permohonan hendaklah disertakan dengan salinan Surat Beranak (Pemohon & ibu dan bapa), Kad Pengenalan/Sijil Cerai/Sijil Kematian (Pemohon & ibu dan bapa), Slip Gaji ibu dan bapa/Surat Pengesahan Bekerja, Surat Tawaran Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Surat Pengesahan Kemasukan daripada Institusi Pengajian pemohon.
Cara Memohon
Permohonan boleh dibuat kepada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas)secara atas talian (online) sahaja di pautan https://budi.sabah.gov.my/
Maklumat Lanjut
PEJABAT TIMBALAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI
(TUGAS-TUGAS KHAS)
JABATAN KETUA MENTERI
Tingkat 29, Blok A,Menara Kinabalu, Jalan Teluk Likas,
88400 Kota Kinabalu,
Sabah.
Telefon: 088-369872/088-369164/088-369897/088-369890Cik Sheilla, Cik Wasillah, Puan Nur Fazillah, Puan Noor Hayati.
Maklumat Belanjawan Sabah 2024
Untuk pengetahuan semua, pihak Kerajaan Sabah telah membentangkan belanjawan negeri berjumlah RM5.701 bilion bagi tahun 2024. Ia lebih menguntungkan berbanding anggaran hasil negeri yang disasar mencapai RM5.737 bilion.
Belanjawan Sabah 2024 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang menyaksikan terdapat lebihan sebanyak RM35.87 juta.
Untuk Belanjawan Sabah 2024, ia dirangka khusus demi membela kesejahteraan hidup rakyat melalui pelaksanaan program pembangunan yang berterusan.
Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited untuk menyediakan belanjawan yang holistik dan inklusif.
Berbanding peruntukan disediakan pada tahun 2023, belanjawan Sabah untuk tahun 2024 menunjukkan peningkatan RM563 juta daripada RM5.138 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan negeri pada tahun ini.
Anggaran hasil Sabah sebanyak RM5.737 bilion pada tahun 2024 disumbangkan menerusi Hasil Cukai sebanyak RM2.636 bilion, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM2.372 bilion dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM729.1 juta.
Hasil Cukai Sabah pada tahun 2024 dijangka dikutip menerusi Cukai Jualan Negeri (CJN) sebanyak RM2.49 bilion; Sewa Tanah (RM103 juta) dan Cukai Pelabuhan dan Dermaga (RM42.5 juta).
Hasil Bukan Cukai pula merangkumi Royalti Petroleum sebanyak RM1.3 bilion; Jualan Air (RM300 juta); Faedah atas Baki Wang Tunai dan Simpanan Jangka Pendek (RM201 juta); Premium Tanah (RM150 juta); Dividen (RM143.7 juta) dan Royalti dan Bayaran Keluaran Hutan sebanyak RM133 juta.
Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM729.10 juta pula merangkumi pulangan balik perbelanjaan, terimaan dan sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan dan terimaan-terimaan lain.
Sebahagian besar belanjawan Sabah pada tahun 2024 diagihkan kepada Kementerian Kewangan negeri iaitu RM2.48 bilion untuk perbekalan dan RM5 juta untuk pembangunan, diikuti Kementerian Kerja Raya negeri (RM1.03 bilion perbekalan, RM689.66 juta pembangunan).
Selebihnya diagihkan kepada Jabatan Ketua Menteri, iaitu masing-masing RM712.64 juta untuk perbekalan dan RM177.83 juta untuk belanja pembangunan, diikuti Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri (RM363.91 juta perbekalan, RM189.16 juta pembangunan).
Apa yang penting, ekonomi Sabah semakin memulih dengan mencatat pertumbuhan menggalakkan pada kadar 3.7 peratus pada 2022 berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya.