Bantuan RM2,000 untuk keluarga B40: Syarat-syarat & tarikh mula memohon
Seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, pihak kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia atau BKM.
BKM pada asasnya merupakan bantuan tunai kerajaan yang lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan kos sara hidup dan beban rakyat berpendapatan rendah.
Mereka yang layak menerima BKM, adalah terdiri daripada mereka yang berpendapatan di bawah RM2,500 dan RM5,000 mengikut kategori penerima masing-masing.
Jumlah BKM untuk B40
Berkenaan dengan jumlah bayaran BKM untuk golongan B40, ia diberikan kepada mereka yang berpendapatan bawah RM2,500. Berikut adalah jumlah secara lebih terperinci mengikut kategori penerima:
- Isi rumah:
- Bilangan anak 0: RM1,000
- Bilangan anak 1 – 2: RM1,500
- Bilangan anak 3 dan ke atas: RM2,000
- Warga Emas Bujang / Tiada Pasangan: RM600
- Bujang: RM350
Dalam masa sama, kadar tambahan juga diberikan kepada penerima isi rumah berikut:
- Tambahan RM500 kepada penerima kategori isi rumah berstatus Ibu Bapa Tunggal (IBT) yang mempunyai anak menepati syarat; atau
- Tambahan RM300 kepada penerima kategori isi rumah berstatus Warga Emas.
Tarikh Kemaskini & Permohonan Baru BKM
Berdasarkan kenyataan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melalui Soalan-soalan Lazim BKM – kemaskini dan permohonan baru BKM boleh dibuat mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Januari 2022. Akan tetapi, tarikh berkenaan masih tertakluk kepada pindaan dari semasa ke semasa.
Cara Pengkreditan BKM
Berkenaan dengan kaedah pengkreditan BKM, ia akan dilaksanakan seperti mana bantuan-bantuan kerajaan sebelum ini iaitu:
- Kredit ke akaun bank terkini yang didaftarkan dalam tempoh pengemaskinian/permohonan BKM; atau Kredit ke akaun bank sedia ada dalam pangkalan data BPR / BKC sekiranya tiada pengemaskinian maklumat dibuat.
- Tuntutan Tunai di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Untuk maklumat lebih lengkap berkenaan bantuan di bawah Bajet 2022 ini, ia boleh dirujuk – DI SINI (PDF).