Bantuan Am Kerajaan untuk kategori B40: Tunai RM350 dikreditkan setiap bulan

Pelbagai jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan, sama ada melalui peringkat Negeri atau Persekutuan bagi membantu mereka yang berkelayakan. Salah satunya termasuklah bantuan-bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bantuan-bantian ini diberikan secara bulan dengan kadar tertentu kepada mereka yang berkelayakan dan diluluskan permohonannya. Berikut adalah penjelasan lanjut berkenaan bantuan JKM ini:-

Bantuan Am Kerajaan

Melalui JKM, terdapat dua bantuan bulanan yang diperkenalkan iaitu Bantuan Am Persekutuan dan Bantuan Am Negeri. Bantuan Am Persekutuan ini diberikan kepada individu atau keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.

Kadar Bantuan Am Persekutuan adalah minima sebanyak RM100 sebulan seorang dan maksimum sebanyak RM350 sekeluarga. Berkenaan dengan Bantuan Am Negeri pula, kadarnya ditetapka oleh Kerajaan Negeri masing-masing. Sebagai contoh, Bantuan Am Negeri Sabah ditetapkan sebanyak minimum RM200 sehingga maksimum RM350 sebulan.

Syarat-syarat Kelayakan

Bagi Bantuan Am Persekutuan, syarat-syarat kelayakannya adalah seperti berikut:

  • Warganegara dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
  • Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
  • Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain.

Bagi Bantuan Am Negeri Sabah pula, syarat-syaratnya seperti di bawah:

  • Warganegara Malaysia dan bermastautin tetap di Negeri Sabah;
  • Pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita semasa; DAN
  • Individu atau keluarga yang tidak berupaya berdikari dan hidup dalam keadaan daif atau miskin; ATAU
  • Pesakit yang disahkan oleh Pegawai Perubatan menghidap penyakit kronik yang serius, memerlukan rawatan lanjut yang kerap sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 3 bulan, dan tidak berupaya bekerja; ATAU
  • Pesakit mental yang disahkan oleh Pegawai Perubatan atau Psikiatri, dan tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap; ATAU
  • Orang Kurang Upaya berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap; ATAU
  • Penjaga yang sedang memberi penjagaan kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun atau orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas sama ada mempunyai ikatan kekeluargaan atau sebaliknya dari keluarga miskin yang tidak berupaya berdikari dan berada dalam keadaan menghidap penyakit mental, penyakit kronik, OKU atau terlantar; ATAU
  • Balu / Janda / Duda bertanggungan yang terikat dengan anak-anak berumur di bawah 18 tahun atau sehingga tingkatan 6; ATAU
  • Tanggungan banduan yang menanggung anak-anak di bawah umur 18 tahun atau sehingga tingkatan 6.

Cara Memohon

Bagi permohonan Bantuan Am Persekutuan, ia hanya boleh dikemukakan di Pejabat Kebajikan Masyarakat di Wilayah Persekutuan sama ada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja.

Ini kerana, syarat kelayakan Bantuan Am Persekutuan hanya layak diberikan kepada warganegara Malaysia yang bermastautin di Wilayah Persekutuan.

Bagi memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian seperti salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan.

Setiap permohonan yang didaftarkan juga akan menjalani siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon.

SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja

Maklumat lengkap berkenaan bantuan ini boleh dirujuk di Portal Rasmi JKM – DI SINI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *