Rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Dibuka Mulai 15 Jun. Ini Cara-Cara Permohonan Rayuan

Tempoh rayuan bagi permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang tidak diluluskan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun ini, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, pemohon boleh mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

“Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya

Terdahulu, kerajaan ketika mengumumkan Program PEMERKASA Tambahan berkata sebanyak RM2.1 bilion BPR Tambahan diperuntukkan untuk membantu penerima BPR 2021 sedia ada.

Justeru, pemohon yang lulus rayuan BPR ini layak menerima bayaran BPR Tambahan berkenaan.

Cara Mohon Rayuan BPR

Permohonan rayuan boleh dibuat menerusi beberapa kaedah iaitu secara dalam talian melalui portal rasmi BPR LHDNM, di Rayuan BPR 2021 (klik sini).

  1. Klik Log Masuk dan masukkan No. MyKad serta Kata laluan yang telah didaftarkan
  2. Setelah Berjaya log masuk sistem akan memaparkan Laman Menu Pengguna. Klik butang Permohonan Rayuan.
  3. Maklumat pemohon akan dipaparkan berdasarkan maklumat Permohonan BPR yang lepas. Pemohon boleh mengemaskini maklumat-maklumat tersebut.
  4. Pemohon boleh memuat naik dokumen sokongan berdasarkan keperluan atau alasan tidak lulus permohonan. Terhad kepada 5 dokumen sahaja
  5. Pemohon klik butang Teruskan bagi meneruskan proses rayuan.
  6. Pemohon dikehendaki mengisi Captcha dan klik butang Sahkan Captcha bagi meneruskan proses rayuan.
  7. Advertisement
    Advertisement
  8. Seterusnya baca dan tandakan “Tick” pengakuan untuk ke paparan bahagian Hantar
  9. Klik butang Hantar. Jika permohonan berjaya dihantar. Popup “Permohonan Rayuan telah berjaya disimpan” akan dipaparkan.
  10. Pemohon boleh klik butang Cetak untuk mencetak maklumat permohonan rayuan atau klik butang Keluar untuk keluar dari permohonan.

Selain itu rayuan juga boleh dilakukan dengan penghantaran borang rayuan BPR 2021 secara manual di cawangan atau Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau di Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM yang berhampiran secara janji temu sahaja (tertakluk kepada prosedur operasi standard semasa kaunter perkhidmatan kerajaan).

Setelah pangkalan data BPR dikemas kini, pembayaran rayuan BPR kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada Ogos 2021 (BPR Tambahan) dan September 2021 (BPR Fasa 3).

Pemohon rayuan BPR boleh merujuk Soalan Lazim yang telah dimuat naik di portal rasmi BPR (https://bpr.hasil.gov.my) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Setakat ini, RM4.6 bilion bantuan BPR telah disalurkan kepada seramai 8.4 juta penerima B40 seluruh negara pada Februari, Mac dan Mei tahun ini. Bayaran Fasa 3 sebanyak RM2.4 bilion pula akan dibuat pada September 2021.

Advertisement
Advertisement

Leave a Reply

Your email address will not be published.