Permohonan kewangan RM20,000 sempena Ramadan & Aidilfitri telah dibuka: Ini cara memohon
Pada bulan April dan Mei ini, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kehadiran bulan Ramadan yang mulia, dan sambutan Hari Raya Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.
Dalam masa sama, sempena Ramadan dan Aidilfitri – ramai juga di kalangan masyarakat kita yang hendak menjana pendapatan melalui usaha perniagaan dan keusahawanan.
Prihatin dengan perkara itu, pihak kerajaan negeri Selangor melalui Hijrah Selangor telah memperkenalkan sebuah skim pembiayaan yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan i-Bermusim bagi peniaga Bazar Ramadan dan Aidilfitri.
Berikut adalah penerangan lanjut berkenaan skim ini: –
Syarat-syarat Kelayakan
- Merupakan warganegara Malaysia;
- Merupakan rakyat Selangor/bermastautin 5 tahun;
- Merupakan pengundi dalam negeri Selangor;
- Berumur 18 hingga 65 tahun;
- Mempunyai premis perniagaan yang khusus;
- Mempunyai lesen/permit perniagaan yang sah;
- Tidak mempunyai rekod pembiayaan yang tidak baik dari mana-mana institusi kewangan atau agensi kerajaan;
- Terlibat secara langsung dalam perniagaan;
- Satu pembiayaan sahaja dalam satu-satu perniagaan perkongsian;
- Boleh menjadi pembiayaan kedua bagi peminjam Hijrah.
Syarat-syarat Pembiayaan
Kadar pembiayaan skim ini adalah dari RM1,000 sehingga RM20,000 mengikut keperluan modal pemohon. Setiap pembiayaan juga akan dikenakan sebanyak 1 peratus sebulan.
Tempoh pembiayaan ini pula adalah 25 minggu atau 6 bulan, dengan kaedah pembayaran balik secara mingguan, bulanan atau sekaligus (tertakluk kepada perubahan semasa).
Bagi perniagaan yang berkonsepkan sewaan atau pajakan, pemohon perlu mempunyai surat atau dokumen yang sah berkaitan dengan perniagaan berkenaan.
Cara Memohon
Bagi yang berminat dan ingin memohon skim pembiayaan ini, ia boleh dikemukakan secara atas talian melalui – PAUTAN INI.
Dalam pada itu, pemohon juga perlu menyediakan dokumen-dokumen sokongan berikut:
- Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan;
- Dua keping gambar berukuran pasport pemohon;
- Salinan lesen perniagaan (SSM/permit PBT)/ salinan perjanjian atau dokumen yang sah sekiranya melibatkan perniagaan atau aktiviti ekonomi yang berkonsepkan sewaan ataupun pajakan;
- Salinan penyata akaun bank (header) atau muka depan buku akaun (yang menunjukkan no. akaun pemohon);
- Gambar perniagaan;
- Salinan bil utiliti premis dan tempat tinggal.
Untuk maklumat lengkap dan jelas lagi berkenaan skim di bawah Hijrah Selangor ini, sila rujuk di portal rasminya – DI SINI.



