Pengeluaran Wang KWSP Bagi Baki RM3,000 & Ke Atas Di Akaun 2. Ini Cara Memohon

Sebelum ini, pihak KWSP telah mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP yang akan dilaksanakan. Inisiatif ini juga akan memberi peluang kepada pencarum untuk melakukan pengeluaran mengikut kelayakan masing-masing.
Melalui portal KWSP, penjelasan telah diberikan mengenai penstrukturan akaun untuk pencarum KWSP dibawah umur 55 tahun. Tiga akaun yang dinamakan adalah seperti berikut:
- Akaun 1 : Akaun Persaraan
- Akaun 2 : Akaun Sejahtera
- Akaun 3 : Akaun Fleksibel
Pada masa yang sama, baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel (turut disebut sebagai Akaun 3) akan bermula dengan baki sifar.
Peratusan Caruman Mengikut Akaun
Jika sebelum ini hanya dengan 2 akaun bagi setiap pencarum. Kini dengan tiga jenis akaun, maka caruman akan dibahagikan dengan peratusan berikut:
- 75% kepada Akaun Persaraan
- 15% kepada Akaun Sejahtera
- 10% kepada Akaun Fleksibel.
Caruman 10% yang akan masuk ke Akaun Fleksibel hanya akan bermula dengan caruman baru yang akan dikreditkan ke dalam akaun pencarum selepas tarikh pelaksanaan.
Manfaat akaun fleksibel adalah simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan pencarum.
Pindahkan Sebahagian Wang Ke Akaun 3 Untuk Pengeluaran
Tempoh masa telah bermula dari 11 Mei hingga 31 Ogos 2024 di mana para pencarum boleh memindahkan sebahagian baki dalam Akaun Sejahtera atau akaun 2 ke dalam Akaun Fleksibel atau akaun 3 sebagai baki permulaan.
Jika peluang dan inisiatif ini dipilih, maka pindahan amaun permulaan pencarum ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) dan akaun-akaun lain adalah mengikut baki akaun Sejahtera (Akaun 2) pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh pencarum.
Namun begitu, jika pencarum memilih untuk tidak berbuat demikian, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera (akaun 2).
Bagi Mereka Yang Mempunyai Simpanan RM3,000 & Ke Atas
Untuk mereka yang memilih pemindahan sebahagian daripada baki simpanan Akaun Sejahtera (akaun 2), langkah-langkah pelaksanaan adalah seperti berikut:
Bagi mereka yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera (akaun 2)
- Sepuluh per tiga puluh (10/30) daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera (akaun 2) akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel (akaun 3);
- Lima per tiga puluh (5/30) daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera (akaun 2) akan dipindahkan ke Akaun Persaraan (akaun 1); dan
- Lima belas per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera (akaun 2)
Bagi Mereka Yang Mempunyai Simpanan Kurang RM3,000
Bagi mereka yang mempunyai akaun simpanan kurang daripada RM3,000 dalam akaun sejahtera (akaun 2):
- Akaun Sejahtera (akaun 2) yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel (akaun 3)
- Akaun Sejahtera (akaun 2) yang mempunyai simpanan melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel (akaun 3) adalah RM1,000, manakala baki adalah kekal dalam Akaun Sejahtera (akaun 3)
Ini bermaksud, jika akaun 2 ahli kurang daripada RM3,000 tetapi mempunyai simpanan melebihi RM1,000, jumlah amaun yang boleh dikeluarkan maksimum adalah RM1,000 melalui akaun 3.
Cara Membuat Permohonan
Pencarum yang ingin memanfaatkan pilihan itu boleh mengemukakan permohonan mereka seperti berikut:
- melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau
- ‘Self-Service Terminal’ yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara bermula 11 Mei ini.
