Bantuan RM500 dibayar setiap bulan untuk yang berumur 60 tahun & ke atas: Ini cara memohon

Pelbagai jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan, sama ada melalui peringkat Negeri atau Persekutuan bagi membantu mereka yang berkelayakan. Salah satunya termasuklah bantuan-bantuan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi tujuan masing-masing dengan peruntukan tertentu.

Antaranya adalah bantuan kewangan secara bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan berpendapatan rendah atau B40. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan antara bantuan kewangan yang diperkenalkan: –

Bantuan RM500 setiap bulan untuk warga emas

Di bawah Belanjawan 2024, pihak Kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan pemberian Bantuan Warga Emas (BWE) yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bantuan ini pada asasnya bertujuan untuk membantu warga emas miskin tegar (yang memenuhi kriteria kelayakan) untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup. Kadar BWE yang ditetapkan adalah sebanyak RM500 dan diberikan secara bulanan kepada mereka yang layak dan diluluskan permohonan mereka.

Syarat-syarat Kelayakan

  • Warganegara yang bermastautin di Malaysia;
  • Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas;
  • Pendapatan isi rumah tidak melebihi:
    • Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa; atau
    • Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Per Kapita Semasa
  • Warga emas yang bukan tinggal di:
    • Institusi kendalian JKM; atau
    • Pusat jagaan harian/berkediaman yang memberi kemudahan/perkhidmatan secara percuma.

Dimaklumkan bahawa pelaksanaan bantuan kebajikan ini adalah selaras dengan Senarai Bersama (Concurrent List) antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Cara Memohon

Bagi yang menepati syarat-syarat yang ditetapkan, pemohon atau wakil yang sah boleh membuat permohonan bantuan BWE ini di Pejabat Kebajikan Masyarakat terdekat. Bagi memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta membawa dokumen-dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian seperti berikut:

  • Salinan Kad Pengenalan diri pemohon;
  • Salinan Kad Pengenalan suami/isteri/ibu/bapa/anak yang tinggal bersama;
  • Salinan sijil kelahiran anak-anak/ahli keluarga yang tinggal bersama;
  • Salinan penyata gaji (jika ada); dan
  • Lain-lain dokumen yang berkaitan.

Setiap permohonan kemudiannya akan menjalani siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Perkara itu bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.

Advertisement
Advertisement

Bagi info yang lebih teliti tentang bantuan ini, sila lihat di Portal Rasmi JKM – DI SINI.

Di bawah Belanjawan 2024, pelbagai lagi bantuan kewangan JKM yang diteruskan iaitu seperti Bantuan Am Persekutuan, sebanyak minimum RM100 sebulan seorang dan maksimum RM350 sekeluarga. Ia diberikan kepada individu atau keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.

Selain itu, Bantuan Anak Pelihara juga diteruskan iaitu sebuah bantuan bertujuan untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik, yatim/yatim piatu, tidak mempunyai saudara-mara supaya terus tinggal di dalam masyarakat bersama-sama dengan keluarga pelihara. Kadar bantuan ini ialah minimum RM250 sebulan seorang sehingga maksimum RM500 sebulan sekeluarga yang memelihara dua orang kanak-kanak atau lebih.

Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) pula merupakan sebuah bantuan yang diperkenalkan untuk menggalakkan OKU terus bekerja, serta mampu hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif. Kadar bayaran EPOKU yang ditetapkan adalah sebanyak RM450 sebulan seorang.

Semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri berkata – kutipan hasil Kerajaan 2024 dijangka menyaksikan
peningkatan daripada RM303.2 bilion tahun 2023 kepada RM307.6 bilion. Defisit fiskal 2024 diunjur berkurang kepada 4.3 peratus ketimbang sasaran 5 peratus tahun ini dan 5.6 peratus tahun 2022.

Belanjawan 2024 juga memperuntukkan RM393.8 bilion iaitu Belanjawan tertinggi pernah dibentangkan. Daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Untuk maklumat lengkap berkenaan Belanjawan 2024, sila ke Portal Rasminya – DI SINI.

Advertisement
Advertisement

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *