Ini Cara Memohon Sehingga RM10,000 Di Bawah Program PUTRA Yang Ramai Terlepas Pandang
Secara umumnya, bantuan kewangan amat penting untuk sesetengah individu atau pun keluarga. Ini kerana, bantuan dari segi kewangan mampu mengurangkan bebanan yang dihadapi mereka.
Pelbagai pakej bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan atau yayasan sebelum ini. Terdapat pakej bantuan yang baru diperkenalkan dan terdapat pakej bantuan yang sudah lama diperkenalkan, tapi masih lagi diteruskan sehingga kini.
Salah satu pakej bantuan yang masih diteruskan adalah Pembiayaan PUTRA yang mungkin ramai terlepas pandang. Berikut adalah maklumat terperinci mengenai program Pembiayaan PUTRA yang anda perlu tahu jika berkelayakan.
Kadar Bantuan
Program Usahawan Lepasan Institusi Pendidikan MARA / Belia (PUTRA) ia menawarkan skop pembiayaan bagi modal pusingan dan pembelian mesin / peralatan dengan had maksimum sebanyak RM10,000.
Tempoh pembiayaan program ini adalah selama 1 hingga 3 tahun atau 12 hingga 36 bulan bagi setiap permohonan yang diluluskan. Pembiayaan ini juga tidak memerlukan jaminan atau cagaran dan pemohon hanya perlu mengemukakan seorang penyokong (reference) di kalangan ahli keluarga.
Syarat-syarat Kelayakan
- Warganegara dan Bumiputera;
- Berumur antara 18 hingga 40 tahun;
- Mempunyai Daftar Perniagaan yang sah (Suruhanjaya Syarikat Malaysia – SSM);
- Mempunyai premis perniagaan (kecuali perniagaan online);
- Mempunyai Lesen/Permit/Surat Kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
- Menjalankan perniagaan sepenuh masa;
- Perniagaan patuh Syariah;
- Bebas dari senarai hitam MARA
Syarat-syarat Khusus
- Belia yang telah menjalankan perniagaan tidak kurang dari tiga bulan dengan perkembangan yang baik;
- Pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMa) yang sedang mengikuti latihan industri atau program inkubator di IPMa;
- Lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMa), senarai IPMa – DI SINI;
- Tidak pernah mendapat sebarang kemudahan pembiayaan MARA.
Cara Memohon
Bagi mereka yang menepati syarat-syarat kelayakan dan ingin memohon, ia boleh dibuat secara atas talian (online) di Sistem Permohonan Pembiayaan MARA – DI SINI.
Untuk senarai semak dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan ia boleh dilihat – DI SINI (PDF).
Manakala, maklumat lengkap dan terperinci berkenaan program pembiayaan ini pula boleh dirujuk – DI SINI.