Selain BKM Fasa 1 pada Mac: Ini senarai semak tarikh-tarikh bantuan kerajaan untuk B40 & M40

Kepada mereka yang telah memohon atau mengemaskini Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan telah diluluskan permohonannya, pembayaran BKM Fasa 1 akan bermula pada 28 Mac ini.

Namun begitu, bukan BKM sahaja bantuan kerajaan yang diperkenalkan di bawah Bajet 2022. Makanya, berikut adalah senarai tarikh-tarikh penting pelaksanaan bantuan-bantuan kerajaan untuk golongan B40 dan M40.

Bantuan Awal Persekolahan (BAP)

Bantuan Awal Persekolahan pada asasnya merupakan bantuan kewangan yang diberikan kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dari kalangan keluarga yang berpendapatan Isi Rumah Kasar RM3,000 dan ke bawah.

Melalui Bajet 2022, BAP telah dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 sebelumnya. Berkenaan dengan tarikh pelaksanaan BAP, pembayaran untuk murid Tahun 2 sehingga Tingkatan 5 telah pun diberikan pada 17 Januari 2022 lalu.

Manakala, murid Tahun 1 yang mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pembayaran BAP akan dibuat selepas proses pendaftaran selesai (selepas 21 Mac 2022).

Bantuan Tablet Percuma untuk B40

Melalui program bantuan Peranti Siswa Keluarga Malaysia, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari kalangan B40 akan menerima tablet percuma bagi memudahkan urusan pengajian mereka.

Berdasarkan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, permohonan program ini akan dibuka pada pertengahan bulan April 2022.

Bantuan e-Dompet RM150

Bantuan e-Dompet di bawah Bajet 2022 ini dikenali sebagai eStart dan diberikan kepada belia yang berumur antara 18 hingga 20 tahun serta juga pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi.

Advertisement
Advertisement

Nilai eStart adalah sebanyak RM150 yang akan dikreditkan ke dalam akaun e-Dompet belia-belia yang layak bagi menggalakkan perbelanjaan secara tanpa tunai. Bantuan ini dijangka akan bermula selepas selesai pelaksanaan Peranti Siswa Keluarga Malaysia (tarikh rasmi akan diumumkan oleh pihak kerajaan).

Diskaun Bayaran Balik PTPTN

Bagi meringankan beban dan menggalakkan pembayaran balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pihak kerajaan akan memberikan diskaun dengan nilai-nilai berikut:

  • Diskaun 15%: Atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
  • Diskaun 12%: Untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran;
  • Diskaun 10%: Untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Tawaran diskaun ini dibuka bermula pada 1 November 2021 sehingga 30 April 2022.

Skim Jaminan Kredit Perumahan

Bagi memudahkan golongan tidak mempunyai pendapatan tetap seperti daripada sektor pekerjaan gig, peniaga kecil dan petani membeli rumah – pihak kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Kredit Perumahan.

Melalui skim ini, kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM2 bilion kepada bank bagi memberi akses pembiayaan membeli rumah. Tarikh pelaksaan skim ini telah dibuka sejak 1 Januari 2022 selaras dengan terlaksananya Bajet 2022.

Untuk pelbagai lagi inisiatif-inisiatif lain di bawah Bajet 2022, boleh rujuk dan baca – DI SINI.

Advertisement
Advertisement

Leave a Reply

Your email address will not be published.