Baucar Perlindungan Tenang dinaikkan kepada RM75, ini adalah cara menebusnya
Seperti semua sedia maklum, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah pun membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada petang 29 Oktober 2021.
Dalam pembentangan itu, pelbagai bantuan dan inisitif telah diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat dan meningkatkan ekonomi negara.
Antara inisiatif yang ditambah baik termasuklah Program Baucar Perlindungan Tenang kepada golongan B40.
Program Baucar Perlindungan Tenang
Pihak kerajaan telah bersetuju menaikkan nilai Baucar Perlindungan Tenang dari RM50 kepada RM75.
Melalui program ini, mereka yang layak dari golongan B40 boleh menebus baucar berkenaan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.
Dalam masa sama, baucar berkenaan juga boleh digunakan untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai 1 Januari 2022.
“Diharapkan dengan peluasan skop perlindungan ini, kumpulan B40 terutamanya yang menunggang motosikal untuk mencari rezeki akan memperoleh manfaat daripadanya.” – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Cara Tebus Baucar
Seperti yang dimaklumkan di awal tadi, baucar ini diperkenalkan bagi membantu golongan B40 membeli produk Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen.
Terdapat dua kaedah untuk menebus baucar perlindungan tenang, iaitu…
Kaedah – Penebusan baucar untuk pembelian produk atas talian:
- Langkah 1: Layari laman web MyCoverage (KLIK SINI).
- Langkah 2: Skrol ke bawah untuk melihat seksyen “Produk Perlindungan Tenang”. Klik ikon logo syarikat/produk Perlindungan Tenang untuk mendapatkan maklumat asas mengenai produk tersebut. Sila semak kriteria produk masing-masing seperti had umur dan jumlah premium/sumbangan sebelum memutuskan produk yang paling sesuai dengan keperluan anda.
- Langkah 3: Tekan butang “KETAHUI LEBIH LANJUT” dan anda akan dibawa ke laman web syarikat insurans atau pengendali takaful yang menawarkan produk Perlindungan Tenang tersebut.
- Langkah 4: Anda akan dibantu untuk melalui proses yang mudah untuk menyertai/membeli produk tersebut. Anda perlu mengisi maklumat yang diperlukan seperti nama, nombor Kad Pengenalan (NRIC), umur, jantina dan lain-lain untuk melengkapkan proses pembelian. Anda mungkin juga perlu memasukkan nombor Baucar Perlindungan Tenang unik anda untuk menuntut baucar tersebut semasa pembelian produk. Anda dinasihatkan untuk membaca terma dan syarat produk tersebut sebelum membuat pembelian.
Kaedah – Penebusan dan pembelian di kaunter:
- Anda boleh menebus baucar dan menyertai/membeli produk Perlindungan Tenang secara langsung dari kaunter pejabat cawagan atau ejen/pengedar sah syarikat insurans/pengendali takaful.
- Teliti dan fahami maklumat asas serta manfaat produk, termasuk menyemak kriteria produk seperti had umur dan jumlah premium/sumbangan sebelum memutuskan produk yang paling sesuai dengan keperluan anda. Anda akan dibantu sekiranya mempunyai sebarang persoalan mengenai produk Perlindungan Tenang tersebut.
- Sekiranya anda ingin meneruskan pembelian, anda akan diminta untuk mengisi maklumat yang diperlukan untuk melengkapkan proses pembelian.
Proses ini berkemungkinan berbeza mengikut syarikat insurans dan pengendali takaful masing-masing. Anda dinasihatkan untuk menghubungi wakil perkhidmatan pelanggan syarikat insurans dan pengendali takaful masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Untuk maklumat lanjut, lengkap dan teperinci berkenaan program ini, sila rujuk – DI SINI.