Ini Jumlah & Senarai Bantuan Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Yang Wajib Anda Tahu

Bagi mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan kewangan, berita gembira untuk anda semua kerana Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melaksanakan pelbagai inisiatif bertemakan ‘Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’.

Ia bertujuan untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang negara.

Berikut adalah senarai bantuan yang dijanjikan dalam RMK-12 melalui ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara senarai bantuan

1. Program Bantuan Rumah

Bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 2.25 bilion ringgit dalam
tempoh RMKe-12.

Peruntukan ini adalah untuk membina dan membaik pulih sebanyak 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah, melibatkan 75 ribu unit rumah di kawasan luar bandar, dan hampir 10,500 unit rumah di kawasan bandar.

Ini tidak termasuk pembinaan rumah yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri, sektor korporat dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO).

2. Bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial

Usaha yang lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan, dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas.

Bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial, akan diteruskan kepada mereka yang layak. Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar, dengan kos sebanyak 1.5 bilion ringgit akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.

3. Dasar dan pelaksanaan kuota pemilikan kediaman Bumiputera

Bagi meningkatkan kekayaan Bumiputera, dasar dan pelaksanaan kuota pemilikan kediaman Bumiputera akan diperkukuh melalui kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, bantuan kewangan, bimbingan dan permentoran oleh institusi kewangan akan diperluas bagi menyokong usahawan Bumiputera.

4. Program peningkatan kemahiran dan bantuan kewangan bersasar Masyarakat India

Sebahagian masyarakat kaum India juga perlu dibantu, khususnya yang berpendapatan rendah. Oleh itu, dalam mencapai pembangunan
inklusif, kesejahteraan mereka akan terus diberi keutamaan, selaras dengan Pelan Tindakan Masyarakat India.

Kerajaan akan memberi sokongan kepada mereka dengan menyediakan program peningkatan kemahiran dan bantuan kewangan bersasar serta peluang keusahawanan.

5. Bantuan Khas Untuk Sabah & Sarawak

Perkhidmatan penjagaan kesihatan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak.

Pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di kedua-dua negeri.

Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26 ribu isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak.

Maklumat Permohonan

Pelaksanaan dan cara memohon bagi bantuan-bantuan yang disenaraikan akan dikemas kini oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa. Untuk mereka yang mahu melihat senarai bantuan ini secara terperinci, boleh pergi ke pautan berikut:  RMK-12 (KLIK SINI)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *