Bantuan Penghargaan Hari Kebangsaan Telah Dikreditkan: Ini Maklumat Penuh Jumlah Bayaran, Tarikh & Penerima
Hari Kebangsaan merupakan detik yang penuh makna dalam lipatan sejarah sesebuah negara. Di Malaysia, tanggal 31 Ogos setiap tahun menjadi tarikh keramat yang diraikan oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama, mahupun latar belakang. Sambutan ini bukan sekadar cuti umum, tetapi ia adalah peringatan kepada pengorbanan pejuang terdahulu yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajahan.
Melalui semangat juang yang tidak mengenal penat lelah, kita hari ini dapat menikmati kehidupan yang lebih aman, makmur, serta berdiri sebagai sebuah negara berdaulat di mata dunia.
Selain mengingati sejarah, Hari Kebangsaan juga menjadi simbol perpaduan nasional. Rakyat daripada pelbagai kaum berkumpul di bawah satu bendera, Jalur Gemilang, sebagai tanda kesetiaan kepada tanah air tercinta. Pelbagai acara diadakan seperti perarakan, nyanyian lagu patriotik, dan kibaran bendera di setiap rumah, sekolah, serta bangunan kerajaan mahupun swasta. Semua ini mencerminkan rasa cinta dan kebanggaan terhadap negara yang kita diami.
Lebih daripada itu, sambutan Hari Kebangsaan mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan. Ia menuntut pengisian dengan usaha membina bangsa yang maju, bersatu, dan bermaruah. Nilai-nilai murni seperti tolong-menolong, hormat-menghormati, serta kesetiaan kepada negara perlu terus dipupuk agar kemerdekaan yang dikecapi tidak sekadar menjadi kenangan sejarah, tetapi warisan yang berterusan untuk generasi akan datang.
Dalam masa sama, pihak Kerajaan juga telah memperkenalkan sebuah insentif bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2025 dan ini adalah maklumatnya.
Bantuan Hari Kebangsaan 2025
Bersempena dengan Hari Kebangsaan 2025, pihak Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara ‘one-off’. Bantuan ini diberikan kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, tanpa mengira had pendapatan.
Bantuan ini mula dikreditkan ke Kad Pengenalan (MyKad) penerima pada 31 Ogos 2025 dan boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 untuk membeli barangan keperluan harian. Antara barangan yang boleh dibeli menggunakan SARA adalah dari 14 kategori berikut: beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan diri, barangan kebersihan kelengkapan rumah, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
Pembelian pula boleh dibuat di lebih 1,400 kedai/pasaraya terlibat seperti Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), serta pasar raya dan pasar mini bebas. Bilangan rakan niaga SARA bukan muktamad dan akan bertambah dari semasa ke semasa.
“Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion. Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025. Dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,” petikan dari ucapan Perdana Menteri.
Cara Buat Pembelian
Bagi para penerima SARA, pembelian boleh dibuat dengan cara berikut:
- Pilih Barangan Keperluan
- Penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk yang mempunyai label MyKasih di rak tanda harga.
- Tunjuk MyKad Untuk Pengesahan
- Juruwang menyemak status MyKad penerima bantuan.
- Imbas Kod Barangan
- Juruwang mengimbas setiap barangan keperluan asas yang ingin dibeli mengikut kategori yang dibenarkan.
- Bayar Menggunakan MyKad
- Penerima membuat bayaran menggunakan MyKad untuk mengesahkan transaksi pembelian.
- Simpan Resit Untuk Semakan
- Penerima bantuan menyimpan resit untuk menyemak transaksi pembelian.
Dimaklumkan bahawa pembelian dengan SARA adalah terhad kepada 14 kategori barangan sahaja (seperti mana senarai). Pembelian selain senarai yang ditetapkan, tidak boleh dibayar menggunakan SARA dan perlu dibayar sendiri oleh pengguna.
Baki kredit SARA yang tidak habis digunakan akan dibawa ke bulan-bulan seterusnya. Namun begitu, baki kredit yang tidak digunakan
sepenuhnya pada akhir tempoh program iaitu 31 Disember 2025 akan digunakan bagi program perlindungan sosial lain pada tahun berikutnya.
SERTAI SALURAN TELEGRAM: https://t.me/jawatankerja
Bagi masalah seperti MyKad rosak atau hilang, penerima SARA perlu hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhampiran untuk urusan penggantian MyKad baharu. Pembelian SARA boleh dibuat selewat-lewatnya pada 31 Disember 2025 selepas urusan pemilikan MyKad baharu selesai.
Untuk semakan kelayakan SARA, ia boleh dibuat dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
- Layari Portal MyKasih;
- Klik butang ‘Semak Kelayakan’
- Isi maklumat nombor Kad Pengenalan (IC) di ruang yang disediakan;
- Maklumat kelulusan SARA akan dipaparkan.
Untuk maklumat yang lebih lengkap berkenaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pengharagaan SARA, boleh dirujuk di Portal MyKasih – DI SINI.