RM350 Dikreditkan Automatik Setiap Bulan: Ini Maklumat Pembayaran Bantuan Am Persekutuan

Golongan B40, yang merujuk kepada 40% isi rumah berpendapatan rendah di Malaysia, sering kali menghadapi cabaran ekonomi yang mendesak. Dengan peningkatan kos sara hidup, kekurangan peluang pekerjaan, dan keperluan asas seperti pendidikan serta kesihatan yang semakin membebankan, golongan ini memerlukan perhatian yang serius. Kesejahteraan mereka bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan tetapi juga masyarakat secara keseluruhan.

Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan B40 keluar daripada kitaran kemiskinan. Antaranya termasuk bantuan kewangan, subsidi bil utiliti, dan program perumahan mampu milik.

Di samping itu, terdapat juga program keusahawanan seperti geran perniagaan dan skim pembiayaan mikro untuk memberi peluang kepada golongan ini meningkatkan pendapatan.

Selain itu, akses kepada pendidikan berkualiti turut diperkasakan melalui bantuan yuran sekolah, program Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), dan pemberian peranti digital bagi pelajar yang memerlukan. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan tetapi juga membuka pintu kepada peluang yang lebih baik untuk masa depan mereka.

Dalam masa sama, pelbagai juga bantuan telah diperkenalkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti berikut: –

Bantuan Am Persekutuan

Bantuan Am Persekutuan adalah sebuah bantuan yang disediakan oleh JKM dengan kadar minimum RM100 seorang dan maksimum RM350 sekeluarga. Bantuan ini diberikan setiap bulan kepada mereka yang layak menepati syarat-syarat kelayakan.

Objektif utama bantuan ini adalah untuk diberikan kepada individu atau keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.

Syarat-Syarat Kelayakan

  • Warganegara dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
  • Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
  • Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain.

Cara Memohon

Bagi permohonan Bantuan Am Persekutuan, ia boleh dilaksanakan di Pejabat Kebajikan Masyarakat terdekat. Akan tetapi, sesuai dengan syarat kelayakan, permohonan hanya boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat dalam Wilayah Persekutuan sahaja.

Bagi memudahkan urusan permohonan, pemohon dikehendaki membawa salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan, ketika hadir ke pejabat kebajikan.

Bagi memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang benar-benar layak, pihak JKM akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon.

Maklumat lebih lengkap dan teliti berkenaan bantuan ini, sila rujuk di Portal Rasmi JKM – DI SINI.

Penambahbaikan Bantuan Am Persekutuan

Di bawah Belanjawan 2025, pihak Kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar Bantuan Am Persekutuan kepada RM150 daripada kadar minimum RM100 dan maksimum sebanyak RM500 sebulan sekeluarga.

Dalam masa sama, kadar Bantuan Kanak-kanak juga dinaikkan kepada RM250 daripada RM200 bagi seorang anak berumur 6 tahun dan ke bawah; serta kepada RM200 daripada RM150 bagi seorang anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun dengan maksimum RM1,000 sekeluarga.

Bagi Bantuan Warga Emas (BWE) pula, pembayarannya akan dinaikkan kepada RM600, berbanding RM500 sebelumnya.

Pihak Kerajaan turut menyediakan RM1 bilion bagi menganjurkan ikhtiar menangani kos sara hidup dengan lebih meluas, seperti Program Payung RAHMAH yang ditingkatkan peruntukan kepada RM300 juta, berbanding RM200 juta.

“RM700 juta dikhususkan untuk memperbanyak saluran program kos sara hidup lain bagi mengawal harga barang, termasuk melalui usaha sama dengan pengusaha pasar raya, pasar borong, kedai runcit, pasar tani, koperasi dan sebagainya,” petikan ucapan Belanjawan 2025.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *