Bantuan KWSP RM500 kepada rakyat Malaysia: Mereka yang layak & penjelasannya
Setiap tahun, Kerajaan akan membentangkan belanjawan untuk dimanfaatkan kepada pembangunan negara dan rakyat.
Bagi Belanjawan 2023 – pihak Kerajaan memperuntuk sebanyak RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion bagi belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Merangkumi peruntukan-peruntukan berkenaan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan kepada mereka yang memerlukan dan berkelayakan.
Bantuan KWSP RM500
Bagi tahun 2023 ini, pihak Kerajaan telah mengumumkan sebuah lagi bantuan kepada para ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu sebanyak RM500 secara ‘one-off’.
Untuk maklumat, program ini akan melibatkan penambahan caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 KWSP bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun.
Akan tetapi, ia hanya diberikan kepada para ahli KWSP yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 berkata inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk membantu mereka membina semula simpanan persaraan yang berkurangan susulan pengeluaran-pengeluaran sebelum ini.
“Kini setelah rakyat beransur-ansur bangkit untuk membina semula kehidupan, kebanyakan rakyat menggunakan pendapatan yang diterima bagi menyara kehidupan, sementara simpanan hari tua masih rendah.
“Kerajaan beriltizam membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan,” katanya di Dewan Rakyat.
Bagi info yang lebih teliti tentang bantuan kewangan ini, sila lihat di Portal Rasmi Kementerian Kewangan – DI SINI.