Bayaran sebenar STR 2024 untuk isi rumah dan bujang: Semak juga tarikh pembayarannya

Pelbagai jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan, sama ada melalui peringkat Negeri atau Persekutuan bagi membantu mereka yang berkelayakan. Antaranya adalah bantuan kewangan yang dikenali sebagai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diteruskan di bawah Belanjawan 2024.

Bantuan ini pada asasnya merupakan kesinambungan bantuan-bantuan sebelum ini iaitu seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan beberapa lagi. Berikut adalah penjelasan lanjut berkenaan bantuan kewangan ini:-

Sumbangan Tunai Rahmah STR 2024

Sumbangan Tunai Rahmah adalah bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia dalam kalangan B40 dan M40 berkelayakan. Ia diberikan kepada kategori isi rumah, warga emas dan bujang bagi meringankan beban mereka dalam berdepan cabaran kos sara hidup ketika ini.

Bagi tahun 2024 ini, STR diberikan kepada rakyat Malaysia yang menepati syarat-syarat kelayakan berikut:

Advertisement
  • Isi Rumah
    • Kahwin; atau
    • Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang mempunyai anak yang menepati syarat; dan
    • Pendapatan Isi Rumah adalah RM5,000 dan ke bawah.
  • Warga Emas Tiada Pasangan
    • Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
    • Had umur adalah 60 tahun dan ke atas; dan
    • Pendapatan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM5,000 dan ke bawah.
  • Bujang
    • Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
    • Had umur adalah 21-59 tahun; dan
    • Bujang Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun dan ke atas; dan
    • Bukan pelajar IPTA / IPTS sepenuh masa; dan
    • Pendapatan Bujang adalah RM2,500 dan ke bawah.

Akan tetapi, individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas termasuk OKU berumur 19 tahun dan ke atas yang masih belajar sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi Awam / Swasta hanya dibenarkan untuk dimasukkan ke dalam maklumat anak / tanggungan permohonan isi rumah dan tidak dibenarkan membuat permohonan sebagai individu bujang.

Bayaran STR 2024

Advertisement

Bagi tahun 2024 ini, kadar bayaran STR telah ditambah baik mengikut kategori penerima:

  • Isi Rumah Pendapatan RM2,500 & ke bawah
    • Bilangan anak 0: RM1,000
    • Bilangan anak 1 – 2: RM1500
    • Bilangan anak 3 – 4: RM2,000
    • Bilangan anak 5 & ke atas: RM2,500
  • Isi Rumah Pendapatan RM2,501 – RM5,000
    • Bilangan anak 0: RM500
    • Bilangan anak 1 – 2: RM750
    • Bilangan anak 3 – 4: RM1,000
    • Bilangan anak 5 & ke atas: RM1,250
  • Bujang Pendapatan RM2,500 & ke bawah
    • Kadar STR: RM350
  • Warga Emas Tiada Pasangan Pendapatan RM5,000 & ke bawah
    • Kadar STR: RM600

Dalam masa sama, terdapat juga penerima STR yang layak menerima bantuan tambahan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Kadar SARA adalah RM1,200 atau RM600 kepada penerima STR berstatus Miskin dan Miskin Tegar di bawah eKasih atau JKM.

Manakala, RM300 pula kepada Penerima Isi Rumah STR dan bukan berstatus Miskin dan Miskin Tegar di bawah eKasih atau JKM serta RM150 untuk penerima Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan STR dan bukan berstatus Miskin dan Miskin Tegar di bawah eKasih atau JKM.

Tarikh Pembayaran STR

Bagi pembayaran STR tahun 2024, ia akan dibuat sebanyak empat fasa mengikut jadual berikut:

  • Fasa 1: Januari 2024
  • Fasa 2: April 2024
  • Fasa 3: Ogos 2024
  • Fasa 4: November 2024

Kaedah pembayaran pula adalah secara kredit terus ke akaun penerima seperti yang diberikan ketika permohonan dibuat. Manakala, untuk mereka yang tiada akaun bank atau ia berstatus tidak aktif – tuntutan tunai boleh dibuat di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) terdekat.

Dimaklumkan juga bahawa permohonan STR dibuka sepanjang tahun dan boleh dibuat secara dalam talian (online) di Portal Bantuan Tunai Hasil. Permohonan juga boleh dibuat dengan mengisi  Borang Permohonan STR (BK-01) boleh didapati secara percuma di Portal Rasmi STR atau Pejabat HASiL / Pejabat Satelit (PS) / Pusat Transformasi Bandar (UTC) HASiL.

Bagi maklumat lebih lengkap berkenaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), ia boleh dirujuk terus di Portal Rasminya – DI SINI.

Advertisement
Advertisement

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *